"Selamat Datang ke Wadah Ilmu Sastera Bandingan - ยินดี ต้อนรับ สู่ เวที วรรณคดี เปรียบเทียบ ความ รู้"

Saturday, January 2, 2010

Kuliah Sastera Bandingan (KSB)

Hubung Jalin antara Sastera Melayu dengan Thai.

Buku Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA ini merupakan terbitan Bahagian Pengembangan Sastera Antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2002. Kuliah di dalam buku ini diberi tajuk Hubung Jalin antara Sastera Melayu dengan Thai. Kuliah sastera bandingan ini disampaikan menerusi Tokoh Kesusasteraan Bandingan Thailand iaitu Prof. Madya Dr. Rattiya Saleh.


Bahagian pertama dalam buku ini menyentuh kepada pengenalan kesusasteraan Thai. Beliau mengklasifikasikan dengan jelas definisi "sastera" dan juga "kesusasteraan" dalam karya tulisan Thai. Di samping itu, beliau turut mengutarakan unsur-unsur yang perlu ada dalam seni sastera dalam penyusunan kata-kata (The Art of Literature).

Kemudian beliau membicarakan tentang bentuk-bentuk yang terdapat di dalam sastera Thai. Secara jelasnya dapat kita fahami bahawa bentuk sastera Thai dibahagikan kepada dua iaitu sastera Roikaew dan sastera Roikro’ng. Sastera Roikaew diistilahkan sebagai satu susunan kata yang baik, yang mempunyai bentuk tertentu dan tidak memerlukan rima dan rentak. Manakala sastera Roikro’ng sejenis bentuk penulisan yang terdiri dari susunan kata-kata yang indah dan mempunyai hukum-hukum penggunaan rima yang tertentu.


Seterusnya, unsur-unsur kandungan kesusasteraan Thai dibicarakan dalam kuliah ini. Secara umumnya kesusasteraan Thai klasik disampaikan kepada masyarakat sama seperti meriwayatkan cerita-cerita dongeng iaitu diceritakan secara terus menerus dan tidak dibahagikan kepada episod-episod tertentu. Watak-watak penting dalam sesebuah cerita itu adalah terdiri daripada golongan atasan. Keadaan ini disebabkan oleh pengaruh kesusasteraan India atau Hindu yang sangat mementingkan peranan golongan atasan seperti raja-raja, puteri-puteri raja atau orang-orang kaya yang mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah. Oleh itu, jelas sekali terdapat unsur bandingan dalam aspek penyaduran budaya Hindu ke alam Sastera Thai.

Pada bahagian kedua, beliau memberi perincian tentang kesusasteraan Melayu dalam khazanah kesusasteraan Thai. Tiga buah karya sastera Thai yang ada hubungan dengan sastera Melayu digunakan. Antaranya adalah Inau ciptaan Phrabat Somdej Phra Phuttaloeslanaphalai, Phongsawaden Inau Chabab Ari Nhakara dan Hikayat Carang Kulina. Menerusi penelitian yang dibuat hasil daripada pembacaan rujukan lain, cerita-cerita ini diterima melalui wayang Jawa atau dipanggil wayang Melayu yang disampaikan dalam bentuk wayang kulit. Seperti cerita-cerita panji Melayu dan panji Jawa, cerita-cerita panji Thai juga didapati tertulis dalam bentuk puisi dan prosa.


Berdasarkan penelitian terhadap perkembangan cerita-cerita panji di Thailand, satu perspektif pandangan dapat dirungkai bahawa cerita-cerita panji mula berkembang di Patani. Landasannya melalui negeri Melaka sewaktu di zaman kegemilangan kerajaan Melaka iaitu Sultan Mansur Syah (1459-1477). Hal ini kerana kerajaan Melayu Melaka mempunyai perhubungan politik dan kebudayaan yang erat dengan kerajaan Melayu Patani. Akhirnya cerita-cerita jenis ini berkembang hingga ke istana raja Thai di Ayutthaya.

Diharapakan catatan serba ringkas berkenaan buku ini dapat membantu pembaca blog ini khususnya untuk lebih memahami corak-corak kesusasteraan bandingan berkenaan dengan cerita-cerita panji Thai yang pada mulanya datang dari kerajaan Melayu Melaka dengan disaduri oleh pengaruh kesusasteraan India atau Hindu.


Secara kesimpulannya, kuliah yang disampaikan ini banyak memberi informasi berhubung dengan cerita panji Thai. Namun begitu Rattiya Saleh kurang menyentuh tentang cerita panji Melayu. Seharusnya perlu ada keseimbangan bagi memperlihatkan aspek perbandingan di antara dua negara. Dalam hal ini, secara tidak langsung akan membantu para pelajar khususnya yang mengambil aliran kesusasteraan agar dapat menjadikan buku ini sebagai korpus ilmu sastera bandingan serta menambahkan minat mereka untuk membuat kajian dengan mengaplikasikan disiplin sastera bandingan.


No comments:

Post a Comment