"Selamat Datang ke Wadah Ilmu Sastera Bandingan - ยินดี ต้อนรับ สู่ เวที วรรณคดี เปรียบเทียบ ความ รู้"

Saturday, January 2, 2010

Latar Belakang Tokoh

Rattiya Saleh @ Khadijah bt. Abdullah merupakan anak kelahiran negara gajah putih, Thailand. Beliau giat menjalankan kajian berkenaan dengan lapangan sastera bandingan. Kajian tesis sarjana beliau iaitu Panji Thai dalam Perbandingan dengan Cerita-Cerita Panji Melayu dibukukan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Seterusnya beliau menyambungkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Setelah selesai menamatkan pengajian peringkat PhD di UKM, beliau ditawarkan jawatan sebagai Pensyarah Tetap di Universiti Thaksin, Songkla, Thailand. Kemudian beliau dianugerahkan dengan gelaran Prof. Madya oleh Pihak Pengurusan Tertinggi Universiti Thaksin, Songkla, Thailand.


Pendidikan

Menerusi aspek pendidikan, Rattiya Saleh merupakan salah seorang daripada alumni UKM. Bidang pengkhususan beliau adalah Kesusasteraan Melayu. Kajian yang beliau hasilkan berkaitan dengan Panji Thai dalam Perbandingan dengan Cerita-Cerita Panji Melayu. Projek Sarjana beliau diselia oleh Dr. Harun Mat Piah. Sepanjang menjalankan kajian di peringkat Sarjana, beliau mendapat pembiayaan biasiswa penuh daripada Srinakharinwirot University Foundation, Bangkok, Thailand.


Seterusnya, tesis PhD beliau diselia oleh Prof. Dr. Noriah Mohammad, di Jabatan Persuratan Melayu, FSSK, UKM. Bagi kajian tesis PhD beliau, wujud kecenderungan untuk mengkaji kisah Hikayat Carang Kulina. Oleh itu, setelah perbincangan bersama penyelia diadakan, maka satu kajian bertajuk Hikayat Carang Kulina : Analisis Teks dan Kesinambungan dalam Kehidupan Masyarakat Melayu Muslim Patani disiapkan pada tahun 2001.

Kerjaya



Pada tahun 2002, beliau dijemput bagi menyampaikan Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA. Menerusi kuliah tersebut, beliau berkongsi serta mencurahkan ilmu sastera bandingan beliau dalam aspek Hubung Jalin antara Sastera Melayu dengan Thai. Kuliah tersebut merupakan anjuran Bahagian Pengembangan Sastera Antarabangsa, Jabatan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Karya

Sehingga kini, para sarjana sama ada sarjana Thai atau sarjana asing belum lagi menghasilkan kajian ilmiah mereka secara meluas tentang cerita Panji atau Ruang Inau secara perbandingan dengan cerita-cerita panji Melayu. Oleh kerana itu, buku ini lebih merupakan satu percubaan awal untuk melihat persamaan dan perbezaan yang terdapat dalam cerita-cerita panji Thai dan panji Melayu.

Buku ini membicarakan mengenai pengenalan kesusasteraan Thai secara umum, latar belakang sejarah perkembangan dan kedudukan cerita-cerita panji Thai di Thailand baik dari segi genre atau dalam bidang yang lain. Yang penting ialah mengenai isi kandungan termasuklah tentang babak, watak dan peranan watak dalam naskah-naskah pilihan.

Kuliah Sastera Bandingan (KSB)

Hubung Jalin antara Sastera Melayu dengan Thai.

Buku Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA ini merupakan terbitan Bahagian Pengembangan Sastera Antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2002. Kuliah di dalam buku ini diberi tajuk Hubung Jalin antara Sastera Melayu dengan Thai. Kuliah sastera bandingan ini disampaikan menerusi Tokoh Kesusasteraan Bandingan Thailand iaitu Prof. Madya Dr. Rattiya Saleh.


Bahagian pertama dalam buku ini menyentuh kepada pengenalan kesusasteraan Thai. Beliau mengklasifikasikan dengan jelas definisi "sastera" dan juga "kesusasteraan" dalam karya tulisan Thai. Di samping itu, beliau turut mengutarakan unsur-unsur yang perlu ada dalam seni sastera dalam penyusunan kata-kata (The Art of Literature).

Kemudian beliau membicarakan tentang bentuk-bentuk yang terdapat di dalam sastera Thai. Secara jelasnya dapat kita fahami bahawa bentuk sastera Thai dibahagikan kepada dua iaitu sastera Roikaew dan sastera Roikro’ng. Sastera Roikaew diistilahkan sebagai satu susunan kata yang baik, yang mempunyai bentuk tertentu dan tidak memerlukan rima dan rentak. Manakala sastera Roikro’ng sejenis bentuk penulisan yang terdiri dari susunan kata-kata yang indah dan mempunyai hukum-hukum penggunaan rima yang tertentu.


Seterusnya, unsur-unsur kandungan kesusasteraan Thai dibicarakan dalam kuliah ini. Secara umumnya kesusasteraan Thai klasik disampaikan kepada masyarakat sama seperti meriwayatkan cerita-cerita dongeng iaitu diceritakan secara terus menerus dan tidak dibahagikan kepada episod-episod tertentu. Watak-watak penting dalam sesebuah cerita itu adalah terdiri daripada golongan atasan. Keadaan ini disebabkan oleh pengaruh kesusasteraan India atau Hindu yang sangat mementingkan peranan golongan atasan seperti raja-raja, puteri-puteri raja atau orang-orang kaya yang mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah. Oleh itu, jelas sekali terdapat unsur bandingan dalam aspek penyaduran budaya Hindu ke alam Sastera Thai.

Pada bahagian kedua, beliau memberi perincian tentang kesusasteraan Melayu dalam khazanah kesusasteraan Thai. Tiga buah karya sastera Thai yang ada hubungan dengan sastera Melayu digunakan. Antaranya adalah Inau ciptaan Phrabat Somdej Phra Phuttaloeslanaphalai, Phongsawaden Inau Chabab Ari Nhakara dan Hikayat Carang Kulina. Menerusi penelitian yang dibuat hasil daripada pembacaan rujukan lain, cerita-cerita ini diterima melalui wayang Jawa atau dipanggil wayang Melayu yang disampaikan dalam bentuk wayang kulit. Seperti cerita-cerita panji Melayu dan panji Jawa, cerita-cerita panji Thai juga didapati tertulis dalam bentuk puisi dan prosa.


Berdasarkan penelitian terhadap perkembangan cerita-cerita panji di Thailand, satu perspektif pandangan dapat dirungkai bahawa cerita-cerita panji mula berkembang di Patani. Landasannya melalui negeri Melaka sewaktu di zaman kegemilangan kerajaan Melaka iaitu Sultan Mansur Syah (1459-1477). Hal ini kerana kerajaan Melayu Melaka mempunyai perhubungan politik dan kebudayaan yang erat dengan kerajaan Melayu Patani. Akhirnya cerita-cerita jenis ini berkembang hingga ke istana raja Thai di Ayutthaya.

Diharapakan catatan serba ringkas berkenaan buku ini dapat membantu pembaca blog ini khususnya untuk lebih memahami corak-corak kesusasteraan bandingan berkenaan dengan cerita-cerita panji Thai yang pada mulanya datang dari kerajaan Melayu Melaka dengan disaduri oleh pengaruh kesusasteraan India atau Hindu.


Secara kesimpulannya, kuliah yang disampaikan ini banyak memberi informasi berhubung dengan cerita panji Thai. Namun begitu Rattiya Saleh kurang menyentuh tentang cerita panji Melayu. Seharusnya perlu ada keseimbangan bagi memperlihatkan aspek perbandingan di antara dua negara. Dalam hal ini, secara tidak langsung akan membantu para pelajar khususnya yang mengambil aliran kesusasteraan agar dapat menjadikan buku ini sebagai korpus ilmu sastera bandingan serta menambahkan minat mereka untuk membuat kajian dengan mengaplikasikan disiplin sastera bandingan.


Bibliografi

Abdul Ahmad (pngr.). 1994. Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harun Mat Piah. 1993. Latar Belakang Sejarah. dlm. Zalila Sharif & Jamilah Hj Ahmad (pnyt.). Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Khoo Kay Kim. 1979. Panji-Panji Gemerlapan: Satu Pembicaraan Pensejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Universiti Malaya.

Matlob. 1980. Panji Semirang. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.

Noriah Mohammad & Mariyam Salim. 2005. Sastera Panji. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rattiya Salleh. 1988. Panji Thai dalam Perbandingan dengan Cerita-Cerita Panji Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Sahlan Mohd Saman. 1986. Sastera Bandingan: Konsep, Teori dan Amalan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Sahlan Mohd Saman. 1995. Sastera Bandingan: Dari Perspektif Kita. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sahlan Mohd Saman. 2002. Pengajian Melayu dalam Konteks Kesusasteraan Bandingan. Bangi: Persatuan Penulis Selangor.

Siti Hawa Haji Salleh. 1997. Kesusasteraan Melayu Abad ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

S. Jaafar Husin.1994. Pengantar Kesusasteraan Bandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sohaimi Abdul Aziz. 2001. Kesusasteraan Bandingan: Perkembangan Pendekatan Praktis. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.